Alhamdulillah banyak-banyakkan kita bersyukur kepada Tuhan sekalian
alam yang telah menjadikan alam yang cukup indah ini diserikan pula dengan
manusia yang dicipta begitu sempurna seperti firman Allah SWT di dalam Al Quran
yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang
sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)” ayat 4, surah At
Tin. Namun sejauh dan seramai mana manusia menggunakan kesempurnaan yang ada
untuk menjadi yang baik dan berguna bukan sekadar pada diri sendiri malah
bermanfaat kepada orang lain.
Kini, nikmat yang dahulunya sebagai kehendak, sudah kearah
menjadi keperluan kepada setiap individu. Internet, satu rangkaian komunikasi
yang banyak mengubah lanskap dunia hari ini tidak kira dari aspek pendidikan,
sumber maklumat, politik dan kemaksiatan. Mesin di hujung jari yang tiada
sempadan ini ada baik buruknya terutamanya dalam penyebaran propaganda.
Propaganda adalah satu bentuk komunikasi yang berperanan
mempengaruhi pemikiran atau sikap masyarakat terhadap sesuatu perkara atau isu.
Kalau dahulu semasa zaman jepun, berita atau pengumuman disebarkan melalui
risalah kertas yang akan ditaburkan menggunakan pesawat ringan, habis kampung-kampung
dan pekan-pekan dipenuhi kertas, maklumlah penggunaan radio adalah diharamkan
masa zaman Jepun.
Pada 2008, kita dikejutkan dengan perubahan lanskap politik Negara
hasil daripada keputusan Pilihan Raya Umum yang mengejutkan banyak pihak.
Antara faktor hal ini berlaku adalah kerana arus media elektronik terutamanya
internet, yang menjadi medium untuk penyebaran maklumat yang lebih meluas dan
tiada ‘bias’ berat sebelah. Hari ini sejarah telah membuktikan laman web sosial
seperti “facebook”, “twitter” dan lain-lain mampu menumbangkan kerajaan Mesir
yang zalim.
Saat ini, filem pula menjadi medium propaganda terbaik
kerana bertepatan dengan perubahan masa dan zaman. Masyarakat atau warga siber
khususnya kini lebih gemarkan hiburan dan perkara yang menyenangkan. Jawapannya
mudah, filem cerita pendek. Ceritanya ringkas dan padat, penuh dengan info dan ‘message’
yang berguna. Sebagai contoh terbaik, filem “Oley!!” mampu menjawab dan sekaligus
membidas kenyataan negatif yang tentang hukum Hudud yang dinyatakan dalam filem
pendek “Sembang Rakyat”. Hasil gabungan antara filem pendek yang di ‘upload’ di
laman web “You Tube” dan “Facebook”, penyebaran maklumat berjalan begitu pantas
dan effisen sekali.
Oleh itu, penulis menyeru warga siber sekalian terutamanya
mahasiswa agar memanfaatkan sebaik mungkin nikmat yang kita nikmati ini. Usah
biarkan KEBATILAN menguasai medium propaganda hari ini. Kita selaku orang yang
berpelajaran patut kenal mana kaca dan mana permata yang boleh membezakan
antara benar atau palsu, baik atau buruk. Mahasiswa perlu menjadi telunjuk dan
pembaris kepada masyarakat kerana mahasiswalah yang akan menjadi pemangkin
(catalyst) kepada masa hadapan negara…
Sekian, wallahu`alam.
SELAMAT MEMASUKI TAHUN 2012 MASIHI