Saturday, December 31

Medium Propaganda Masa Kini

Assalamualaikum dan salam sejahtera warga siber sekalian.

Alhamdulillah banyak-banyakkan kita bersyukur kepada Tuhan sekalian alam yang telah menjadikan alam yang cukup indah ini diserikan pula dengan manusia yang dicipta begitu sempurna seperti firman Allah SWT di dalam Al Quran yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)” ayat 4, surah At Tin. Namun sejauh dan seramai mana manusia menggunakan kesempurnaan yang ada untuk menjadi yang baik dan berguna bukan sekadar pada diri sendiri malah bermanfaat kepada orang lain.

Kini, nikmat yang dahulunya sebagai kehendak, sudah kearah menjadi keperluan kepada setiap individu. Internet, satu rangkaian komunikasi yang banyak mengubah lanskap dunia hari ini tidak kira dari aspek pendidikan, sumber maklumat, politik dan kemaksiatan. Mesin di hujung jari yang tiada sempadan ini ada baik buruknya terutamanya dalam penyebaran propaganda.

Propaganda adalah satu bentuk komunikasi yang berperanan mempengaruhi pemikiran atau sikap masyarakat terhadap sesuatu perkara atau isu. Kalau dahulu semasa zaman jepun, berita atau pengumuman disebarkan melalui risalah kertas yang akan ditaburkan menggunakan pesawat ringan, habis kampung-kampung dan pekan-pekan dipenuhi kertas, maklumlah penggunaan radio adalah diharamkan masa zaman Jepun.

Pada 2008, kita dikejutkan dengan perubahan lanskap politik Negara hasil daripada keputusan Pilihan Raya Umum yang mengejutkan banyak pihak. Antara faktor hal ini berlaku adalah kerana arus media elektronik terutamanya internet, yang menjadi medium untuk penyebaran maklumat yang lebih meluas dan tiada ‘bias’ berat sebelah. Hari ini sejarah telah membuktikan laman web sosial seperti “facebook”, “twitter” dan lain-lain mampu menumbangkan kerajaan Mesir yang zalim.

Saat ini, filem pula menjadi medium propaganda terbaik kerana bertepatan dengan perubahan masa dan zaman. Masyarakat atau warga siber khususnya kini lebih gemarkan hiburan dan perkara yang menyenangkan. Jawapannya mudah, filem cerita pendek. Ceritanya ringkas dan padat, penuh dengan info dan ‘message’ yang berguna. Sebagai contoh terbaik, filem “Oley!!” mampu menjawab dan sekaligus membidas kenyataan negatif yang tentang hukum Hudud yang dinyatakan dalam filem pendek “Sembang Rakyat”. Hasil gabungan antara filem pendek yang di ‘upload’ di laman web “You Tube” dan “Facebook”, penyebaran maklumat berjalan begitu pantas dan effisen sekali.


Oleh itu, penulis menyeru warga siber sekalian terutamanya mahasiswa agar memanfaatkan sebaik mungkin nikmat yang kita nikmati ini. Usah biarkan KEBATILAN menguasai medium propaganda hari ini. Kita selaku orang yang berpelajaran patut kenal mana kaca dan mana permata yang boleh membezakan antara benar atau palsu, baik atau buruk. Mahasiswa perlu menjadi telunjuk dan pembaris kepada masyarakat kerana mahasiswalah yang akan menjadi pemangkin (catalyst) kepada masa hadapan negara…
Sekian, wallahu`alam.

SELAMAT MEMASUKI TAHUN 2012 MASIHI
           

No comments:

Post a Comment